COVID-19: Kekerapan Penerbangan di Sarawak Dikurangkan

art-331-01

Kerajaan Sarawak telah membuat keputusan untuk mengurangkan kekerapan penerbangan di negeri ini, selaras dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang dibuat pada 27 Julai lepas.

Menerusi kenyataan daripada Menteri Pengangkutan YB Datuk Lee Kim Shin pada 29 Julai, keputusan tersebut membabitkan semua syarikat penerbangan yang masuk dan keluar dari Sarawak termasuklah penerbangan dalam negeri.

Menurut beliau, keputusan yang dibuat oleh JPBNS adalah tepat dan merupakan salah satu strategi dalam membendung penularan COVID-19 di negeri ini terutama di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Beliau juga mengingatkan penumpang dan anak kapal syarikat penerbangan untuk mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JPBNS semasa berada di terminal dan di dalam pesawat.

Menyentuh mengenai had pergerakan perjalanan antara Zon 1 yang meliputi Kuching, Samarahan dan Serian ke Zon 2 meliputi Bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang, beliau memaklumkan, orang ramai perlu memohon permit daripada pihak polis sebelum membeli tiket.

Permit perjalanan juga dikenakan kepada mereka yang telah membeli tiket penerbangan lebih awal untuk perjalanan yang dijadualkan bermula pada atau selepas 1 Ogos 2020.

Jelas beliau lagi, had pergerakan perjalanan yang melibatkan dua zon bukan hanya dikenakan terhadap syarikat penerbangan sahaja, malah turut melibatkan perkhidmatan bot ekspres dan perkhidmatan bas serantau yang beroperasi antara dua zon tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan syarikat penerbangan, pengendali bot ekspres dan syarikat bas serantau agar bertanggungjawab untuk memastikan hanya penumpang yang mempunyai permit daripada pihak polis sahaja dibenarkan untuk melakukan perjalanan antara kedua-dua zon berkenaan.

Dalam masa yang sama, agensi Kerajaan berkaitan seperti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak polis diarahkan untuk memantau kepatuhan terhadap arahan yang dikeluarkan oleh JPBNS berkenaan sekatan perjalanan.

Comments are closed.