Enam Menara Komunikasi Baharu Sedang Dibina di Baram

art-338-01

Daerah Baram di Miri bakal mendapat liputan jalur lebar yang lebih baik apabila enam menara komunikasi baharu sedang dibina di daerah luar bandar tersebut.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia YB Datuk Zahidi Zainul Abidin menjelaskan, setakat Jun 2020, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambah baik perkhidmatan jalur lebar di Baram termasuklah membina 43 menara komunikasi dan menaik taraf 46 alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada.

Buat masa sekarang, pihak kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengadakan sesi perancangan bersama pihak industri dan pelbagai agensi kerajaan untuk mengenal pasti lokasi berpenduduk di kawasan pedalaman.

Menurut beliau, kawasan-kawasan yang terlibat merangkumi Long Apu, Long Spigen, Long Palai dan lain-lain kawasan Parlimen Baram bagi memantapkan kualiti dan liputan perkhidmatan menggunakan pelbagai teknologi sesuai yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau memaklumkan perkara tersebut ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Baram, YB Anyi Ngau semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin, 3 Ogos.

Sementara itu, sebagai menjawab pertanyaan tambahan daripada Ahli Parlimen Hulu Rajang, YB Datuk Wilson Ugak Kumbong, YB Zahidi berkata kementerian sedang mencari kaedah dan teknologi baharu seperti penggunaan satelit bagi menjamin liputan jalur lebar di kawasan luar bandar terutama di Sarawak dan Sabah.

Tambah beliau, apa saja teknologi baharu yang dicadangkan akan diusahakan oleh kementerian dan sehubungan itu, Program Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal) yang akan diadakan pada 13 hingga 14 Ogos ini akan mengkaji secara terperinci mengenai perkara berkenaan.

Jelas beliau, objektifnya adalah bagi merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dengan luar bandar kerana usahawan di luar bandar perlu diberi perhatian dan diketengahkan dengan kemudahan digital dan sebagainya.

 

 

Comments are closed.