Kemahiran Keusahawanan Sebagai Nilai Tambah Bidang TVET

art-334-01

Penerapan kemahiran keusahawan dalam Bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) dipercayai dapat meningkatkan kekompetenan dan daya saing dalam kalangan pelatih dari pelbagai institusi latihan kemahiran awam dan swasta di seluruh negara.

Oleh sebab itu, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) telah bekerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEXS) serta pelbagai institusi teknikal dan vokasional yang lain untuk melaksanakan Program Usahawan Graduan Dalam Bidang Teknikal dan Vokasional (USTEV).

Program USTEV memberi penekanan terhadap kemahiran keusahawanan sebagai nilai tambah untuk pelajar dalam bidang TVET di Sarawak kerana ia dianggap sebagai elemen penting dalam domain kemahiran insaniah yang amat perlu diberi perhatian.

Antara matlamat USTEV ialah untuk memudahcara belia berkemahiran teknikal dan vokasional memula atau mengembangkan perniagaan mereka selain untuk meningkatkan pernyertaan belia berkemahiran teknikal dan vokasional dalam bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Selain itu, kerajaan juga berhasrat untuk memperkasa usahawan dalam sektor teknikal dan vokasional ke tahap yang lebih tinggi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui penubuhan perniagaan oleh peserta program USTEV.

Kursus-kursus dalam bidang teknikal dan vokasional ini termasuklah teknologi automatif, kimpalan, pemasangan elektrik, penyusunan bata, ubah suai dan cat, penyejukan dan pendingin hawa, perkhidmatan restoran, memasak, terapi kecantikan dan sebagainya.

Untuk rekod, pada tahun 2018, MINTRED telah memperuntukkan geran bantuan sebanyak RM212,812 untuk 10 orang penerima di bawah program USTEV sebagai bantuan pendaftaran perniagaan, inkubator dan modal kerja.

Manakala pada tahun lepas, MINTRED telah menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM2.4 juta kepada 205 usahawan di bawah program USTEV dan Program Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK).

Baru-baru ini, MINTRED telah memberikan geran berjumlah RM20, 000 kepada mereka yang memiliki sijil teknikal dan vokasional di bawah program USTEV bagi membeli peralatan mesin komputer dan sebagainya.

Comments are closed.