Sebuah Lagi Anjung Usahawan akan Dibina di Lawas

art-340-01Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan

Bandar Lawas bakal memiliki sebuah lagi Anjung Usahawan apabila Kerajaan Sarawak merancang untuk membina kemudahan perniagaan tersebut di Kampung Ladang.

Projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) itu yang bernilai RM2.8 juta dijangka bermula pada September depan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, lokasi dan tapak projek sudah dikenal pasti.

Anjung berkenaan akan dilengkapi kemudahan untuk perniagaan, stor dan kemudahan untuk pemprosesan makanan daripada hasil pertanian.

Selain itu, kerajaan juga merancang untuk membina jambatan di kawasan tersebut yang meghubungkan Kampung Ladang Baru ke bandar Lawas melalui peruntukan sedia ada NRDA.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Kedua dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak turut memaklumkan, Kampung Seberang Kedai juga akan dibina jalan raya di bawah NRDA.

Menyentuh mengenai projek kemudahan jalan raya, menurut beliau, Kerajaan Sarawak juga merancang untuk membangunkan jalan pesisir yang akan melalui bandar Lawas hingga ke sempadan Sabah.

Projek-projek lain yang turut dirancang termasuklah pembinaan sekolah baharu SK Ladang Baru dengan kos RM5.5 juta serta baik pulih dan pembinaan blok baharu SK Kampung Kerangan dengan kos RM4.5 juta.

YB Datuk Amar Haji Awang Tengah memaklumkan perkara tersebut ketika menghadiri Majlis Penyerahan Daging Korban sempena Aidil Adha di pekarangan Masjid Al Takwa Kampung Ladang Baru pada 3 Ogos.

Comments are closed.