Memerangi COVID-19 Menelan Belanja 500 Kali Lebih Tinggi daripada Langkah Pencegahan

art-346-01

Kaji selidik terbaharu oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh pakar biologi Profesor Les Kaufman dari Boston University yang juga pengarang ringkas dasar dalam Science mendapati bahawa kos untuk memerangi pandemik COVID-19 di seluruh dunia dijangka menelan belanja antara USD8.1 dan USD15.8 trilion, iaitu kira-kira 500 kali ganda lebih tinggi daripada pelaburan dalam langkah pencegahan yang dicadangkan.

Dalam membuat anggaran keseluruhan jumlah kos kewangan COVID-19, para penyelidik turut memasukkan kos kerugian produk domestik kasar dan kos ekonomi dan tenaga kerja daripada beratus ribu kematian di seluruh dunia.

Para penyelidik juga mengatakan bahawa penularan penyakit daripada haiwan liar kepada manusia kerap kali berlaku di kawasan berdekatan hutan hujan tropika di mana serangan jangkitan kepada manusia meningkatkan kebolehjadian sentuhan dengan haiwan.

Serangan ini berbentuk penebangan hutan, penternakan lembu dan sebagainya serta perdagangan haiwan eksotik.

Penebangan hutan sering dilakukan dalam corak cantuman dan berpetak-petak, seterusnya meningkatkan jumlah tanah lapang di pinggir hutan yang meyebabkan peningkatan risiko penularan penyakit antara spesis haiwan yang biasanya hidup dalam pelbagai ekosistem.

Untuk mengurangkan penularan penyakit, Profesor Kaufman dan pasukannya mencadangkan supaya program pemantauan perdagangan haiwan liar diperluaskan selain melabur dalam usaha menamatkan perdagangan daging liar di China, melabur dalam polisi bagi mengurangkan penebangan hutan sebanyak 40 peratus dan memerangi penularan penyakit daripada haiwan liar kepada haiwan ternakan.

Di China sahaja, penternakan hidupan liar yang dipantau oleh kerajaan negara tersebut merupakan industri yang mencecah sekitar USD20 bilion dengan tenaga kerja seramai 15 juta orang, jelas Profesor Kaufman dan pasukannya.

Bagi komuniti China, pembelian haiwan liar, daging lembu ataupun daging daripada spesis hidupan liar merupakan ‘simbol status’.

Para penyelidik juga mencadangkan untuk meningkatkan dana bagi mewujudkan pusat sumber data terbuka untuk penunjuk genetik virus unik yang dikenal pasti yang akan membantu pengesanan punca dan sumber penyakit yang muncul dengan cepat serta dapat ditangani dengan segera sebelum merebak.

Menurut penyelidik-penyelidik berkenaan, setiap tahun, dua virus baharu dianggarkan berpindah daripada haiwan kepada manusia.

Dari fakta sejarah, virus-virus tersebut termasuklah HIV, MERS, SARS-Cov-1, H1N1 dan yang terkini virus SARS-Cov-2 yang menyebabkan COVID-19.

Profesor Kaufman dan pasukan penyelidiknya berharap agar laporan mereka menjadi dorongan kepada kerajaan di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat untuk membantu membiayai langkah-langkah pencegahan yang dicadangkan.

Beliau turut memaklumkan terdapat beberapa petunjuk yang memberikan harapan antaranya pengumuman pada Februari lalu oleh Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Nasional China bahawa penggunaan hidupan liar untuk makanan atau perdagangan yang berkaitan akan dilarang di China.

Comments are closed.