Pergerakan Rentas Zon Tanpa Permit Polis Dibenarkan Bermula 15 Ogos Ini

art-360-01

Tiimbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media harian COVID-19 di Kuching pada 10 Ogos 2020

Pergerakan antara Zon di Sarawak dibenarkan tanpa perlu memohon permit daripada pihak polis, berkuatkuasa pada 15 Ogos ini.

Keputusan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam mesyuarat pada 10 Ogos dan diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBNS, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kuching pada hari yang sama.

Jelas YB Datuk Amar Douglas, JPBNS telah meneliti isu semasa kes positif COVID-19 di Sarawak yang melibatkan perbincangan serta pandangan dari sudut kesihatan dan ekonomi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan industri pelancongan.

Tambah beliau, selepas mengambil kira perkara-perkara tersebut, JPBNS memutuskan untuk membenarkan pergerakan antara Zon di Sarawak tanpa perlu memohon permit daripada pihak polis berkuat kuasa 15 Ogos 2020.

Dalam pada itu, JPBNS juga mengingatkan supaya semua premis perniagaan diwajibkan untuk merekodkan butiran peribadi seperti nama dan nombor telefon bagi semua pengunjung yang masuk ke premis atau menggunakan aplikasi MySejahtera, Qmunity ataupun COVIDTrace.

Menurut beliau, langkah tersebut adalah bagi meningkatkan pengesanan kontak dan penguatkuasaan.

Comments are closed.