Pemanasan Global Berlaku Lebih Cepat

art-365-01

Berdasarkan model iklim terbaharu, gas rumah hijau yang dilepaskan ke atmosfera yang kebanyakannya berpunca daripada pembakaran bahan api fosil memanaskan permukaan bumi lebih cepat daripada apa yang dijangkakan sebelum ini.

Pada tahun lepas, para saintis memaklumkan bahawa model iklim baharu tersebut bakal menggantikan model yang digunakan oleh unjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Merujuk pada dua model yang dikeluarkan oleh dua pusat penyelidikan di Perancis menunjukkan, menjelang tahun 2100, purata suhu boleh meningkat ke tujuh darjah Celsius di atas tahap pra- industri sekiranya pelepasan karbon tidak berubah.

Perubahan tersebut adalah dua darjah lebih tinggi daripada senario yang diramalkan oleh Laporan Penilai Ke-5 Panel Antara Kerajaan untuk Perubahan Iklim 2014.

Kiraan terbaharu tersebut juga menunjukkan sasaran Perjanjian Paris untuk menghadkan pemanasan global di bawah dua darjah Celsius di atas pra-industri menjadi sangat mencabar.

Peningkatan kepanasan kepada satu darjah Celsius yang berlaku di dunia kini sahaja sudah cukup untuk menyaksikan peningkatan gelombang haba, kemarau, banjir, taufan tropika yang lebih memusnahkan serta peningkatan aras laut.

Comments are closed.