Semarakkan Semangat Cintakan Negara Melalui Pertandingan Nyanyian Patriotik

art-368-01Borang penyertaan Pertandingan Bintang Patriotik Smule 2020 boleh didapati di https://bit.ly/BorangBPS2020

Sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) akan menganjurkan Pertandingan Bintang Patriotik Smule bertemakan “Lagu Patriotik” bagi menggambarkan jati diri cintakan negara di kalangan rakyat Malaysia.

Pertandingan tersebut akan bermula pada 14 Ogos 2020 hingga 30 Oktober 2020 dan akan dilaksanakan sekali dalam sebulan iaitu tujuh (7) hari untuk peringkat saringan dan tiga (3) hari untuk peringkat akhir.

Juara Bulanan akan dipilih untuk bulan Ogos, September dan Oktober dan hanya 10 orang peserta sahaja akan dipilih ke peringkat akhir Bintang Patriotik Smule.

Bagi menyertai pertandingan tersebut, peserta perlu memuat turun aplikasi Smule di dalam telefon pintar terlebih dahulu kemudian menghantar penyertaan melalui aplikasi tersebut.

Format pertandingan terbahagi kepada dua (2) bahagian iaitu di peringkat saringan, pilihan lagu adalah mengikut jantina dan peserta dikehendaki memilih satu (1) lagu sahaja manakala di peringkat akhir peserta perlu melaksanakan dua (2) tugasan iaitu yang pertama adalah nyanyian Lagu Patriotik dan tugasan kedua ialah nyanyian lagu bebas pilihan peserta.

Semua peserta yang menyertai pertandingan ini perlu  bersetuju memberikan hak milik atau hak cipta dan penggunaan serta membenarkan pihak JaPen untuk mengguna semula, menyiarkan, menerbit atau mempamerkan penyertaan di dalam apa jua bentuk media atau medium  sama ada tempatan atau antarabangsa tanpa sebarang notis atau pembayaran royalti kepada para peserta.

Bagi pertandingan ini, johan akan menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM700 manakala naib johan akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500.

Bagi tempat ketiga, pemenang akan menerima wang tunai berjumlah RM300 dan untuk persembahan video terbaik akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM150.

Pertandingan ini adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan penyertaan digalakkan daripada berbilang bangsa seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Comments are closed.