Pembinaan Infrastruktur 5G Di Kawasan Bandar Sebagai Langkah Permulaan

Art-376-01Pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) diantara CENTEXS, SDEC, Syarikat Teknologi Huawei, Maxis Berhad, SACOFA Sdn Bhd dan VALSA Sdn Bhd

Rancangan pembinaan infrastruktur 5G di kawasan bandar adalah sebagai langkah permulaan untuk memperluaskan rangkaian penghubungan di seluruh Sarawak sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030

Buat masa ini, kerajaan Sarawak sedang memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlaksanaan jaringan penghubungan jalan agar rangkaian penghubungan siber termasuk infrastruktur 5G dapat dilaksanakan selepas itu.

Perkara ini dimaklumkan Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika berucap di Majlis Pelancaran Tapak CENTEXS-SDEC 5G Test Bed yang pertama di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) pada 14 Ogos 2020, yang lepas.

5G Test Bed merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak menerusi CENTEXS, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) untuk mempromosi dan menyelaras ujian dan penyelidikan di CENTEXS (Smart Campus).

Menurut Ketua Menteri, dalam usaha memperluaskan rangkaian penghubungan siber termasuk infrastruktur 5G  di seluruh Sarawak, sudah tentulah ia melibatkan pembiayaan yang tinggi.

Oleh sebab itu, beliau telah berunding dengan Kerajaan Persekutuan berkenaan dengan pengutipan levi di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar mereka berkongsi levi dengan Kerajaan Sarawak.

Beliau memberitahu, untuk melaksanakan infrastruktur 5G tersebut, ia mungkin mengambil masa antara 5 hingga 10 tahun bergantung kepada kewangan yang ada dan diharap menjelang tahun 2030 Sarawak sudah memiliki infrastruktur 5G tersebut.

Namun, apa yang penting bagi beliau adalah mempersiapkan rakyat Sarawak agar mereka dapat menguasai peranti 5G kerana teknologi dan peranti yang datang dengan teknologi 5G akan membolehkan rakyat melakukan analitik data berkaitan sumber  alam di negeri ini

Untuk tujuan inilah CENTEXS telah berkolaborasi dengan syarikat Huawei Teknologi bagi melaksanakan beberapa program latihan dan juga mewujudkan makmal.

Comments are closed.