Aplikasi ‘MySales Tracker’ Membantu Pengguna Membuat Semakan Aktiviti Jualan Murah

art-381-01Aplikasi Mysales Tracker boleh dimuat turun melalui Google Play Store versi android 4 -10 dan App Store versi iOS 9 – 13.5.1

Aplikasi telefon pintar MySales Tracker adalah sebuah inisiatif yang telah dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertujuan untuk memudahkan pengguna membuat semakan aktiviti jualan murah di sekitar mereka.

Aplikasi MySales Tracker mempunyai beberapa keistimewaan antaranya ialah mengandungi pautan maklumat jualan murah dengan penyediaan fungsi carian untuk memudahkan pengguna mencari premis yang sedang mengadakan jualan murah.

Sekiranya fungsi GPS (Global Positioning System) diaktifkan, premis dalam jarak 20 kilometer (km) yang sedang mengadakan jualan murah akan dipaparkan pada peta dalam aplikasi secara automatik.

Dalam pautan ini juga, turut dipaparkan maklumat seperti nama syarikat, nombor pendaftaran syarikat, nombor permohonan jualan dan tempoh jualan harga murah.

Selain daripada itu, para pengguna juga boleh mengetahui nama produk, harga sebelum diskaun dan harga selepas diskaun yang ditawarkan oleh setiap premis yang sedang mengadakan jualan murah.

Aplikasi ini juga turut mengandungi pautan perbezaan harga yang memaparkan maklumat tentang harga asal dan harga selepas diskaun bagi barangan promosi atau barangan on-sales.

Seterusnya ialah pautan aduan secara whatsapp yang disediakan untuk membolehkan pengguna mengemukakan aduan menerusi aplikasi Mysales Tracker sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang menjalankan aktiviti jualan murah secara palsu atau mengelirukan.

Aplikasi ini turut menyediakan risalah-risalah (leaflet) yang memaparkan maklumat berkenaan barang-barang promosi (jualan murah) untuk memudahkan pengguna membuat rancangan pembelian.

Diharapkan melalui inisiatif yang telah dibangunkan ini, ia akan merancakkan lagi aktiviti jualan murah di Malaysia serta mendorong ke arah suasana perniagaan yang lebih kondusif.

Comments are closed.