Menangani Stres dengan Kaedah 10B

art-384-01

Stres atau tekanan adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental kepada sebarang perubahan yang dialami oleh seseorang individu apabila sesuatu kehendak, tuntutan ataupun harapan tidak dapat dipenuhi.

Situasi yang mendatangkan rangsangan yang tidak menenangkan seperti bau busuk, bunyi yang kuat dan kata-kata yang kesat boleh menyebabkan stres.

Sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur boleh mengalami stres. Secara umum, tahap stres yang dihadapi oleh seseorang berbeza-beza mengikut beban tekanan yang dihadapi.

Stres yang tidak keterlaluan atau sederhana adalah baik dan boleh menjadi faktor pendorong atau motivasi dalam meningkatkan produktiviti seseorang.

Stres yang keterlaluan dan berlarutan untuk jangka masa yang panjang serta tidak dapat ditangani akan menyebabkan kesan negatif dan memudaratkan kesihatan dan meningkatkan risiko terhadap penyakit.

Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan kaedah 10B sebagai cara untuk mengawal dan mengurangi stres.

Kaedah 10B adalah seperti berikut:

Bertenang.

Setiap kali anda berasa stres, bawalah bertenang. Memastikan diri anda dalam keadaan tenang boleh membantu mengurangkan kitaran stres negatif pada peringkat permulaan.

Bernafas dengan dalam.

Lakukan latihan pernafasan yang boleh meningkatkan pertukaran oksigen dan karbon dioksida dalam sel tubuh bagi mengurangkan ketegangan.

Berkata,`Relakslah’.

Cuba katakan pada diri sendiri, saya ni stres, ‘Relakslah’, ‘Tak mengapa’ atau ‘Tak apalah’ dan ‘Bawalah bersabar’. Kata-kata ini sedikit sebanyak dapat menenteramkan perasaan dan mengurangkan stres.

Beribadat.

Ibadat seperti solat dan berzikir dapat memberi sokongan emosi dan boleh melegakan perasaan seseorang. Menangani stres dengan beribadat dilakukan mengikut kepercayaan masing-masing.

Berkongsi perasaan dengan seseorang.

Individu yang mengalami stres dinasihatkan supaya bercakap dengan ahli keluarga atau kawan-kawan rapat yang boleh dipercayai dan memahami. Luahkanlah dan kongsi perasaan anda dengan mereka.

Apabila anda berkongsi perasaan dengan orang lain, anda akan berasa lega dan ini dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi, seterusnya mengingatkan anda bahawa masih ada orang yang sayang dan ambil berat tentang diri anda.

Berurut.

Stres boleh menyebabkan ketegangan otot, terutama di bahagian leher dan bahu. Urutan di bahagian leher dan bahu yang betul boleh melegakan ketegangan otot serta melancarkan perjalanan darah. Selain itu, urutan kaki juga boleh dilakukan untuk mengurangkan stres.

Berehat dan mendengar muzik.

Berehat sambil mendengar alunan muzik yang lembut dapat membantu mengurangkan denyutan jantung yang laju.

Tubuh badan akan mula relaks serta pernafasan akan kembali normal. Ini membuatkan anda berasa tenang. Pilihlah muzik yang lembut dan menenangkan.

Beriadah.

Beriadah dapat menenangkan fikiran dan membuat anda berasa gembira serta menghilangkan stres. Luangkan sedikit masa untuk melakukan aktiviti di luar rumah sama ada bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Lakukanlah aktiviti yang anda gemari.

Bersenam.

Bersenam juga boleh membantu mengurangkan ketegangan otot dan stres. Senaman dapat meningkatkan pengeluaran hormon dan dorfin yang akan melegakan.

Berfikiran positif.

Prasangka dan salah tafsir terhadap sesuatu situasi juga boleh mendatangkan stres. Berfikiran positif dengan cuba melihat kebaikan atau keadaan positif dalam mana-mana situasi yang bersifat negatif dapat mengurangkan stres.

Kita perlu berfikiran positif untuk meningkat harga diri sendiri. Pelajarilah cara berfikiran positif kerana ia akan dapat membantu kita menangani stres dengan lebih berkesan.

Sebenarnya, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mengawal stres. Stres boleh dikawal secara sendiri ataupun melalui bantuan ahli keluarga atau rakan-rakan.

Dengan melakukan kaedah 10B, kesan fizikal stres seperti denyutan jantung, perasaan marah, rasa gelisah, gementar, sakit kepala dan sebagainya yang disebabkan oleh tindak balas hormon adrenalin terhadap tubuh dapat dikurangkan.

Stres mesti ditangani secara berterusan bagi memastikan badan sentiasa sihat dari segi fizikal, emosi dan minda.

Kaedah 10B hanya boleh mengawal stres untuk jangka masa pendek. Yang paling penting adalah, kenal pasti punca stres, diikuti dengan tindakan susulan yang perlu diambil untuk mencari jalan penyelesaian kepada punca stres.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my

Comments are closed.