Penstrukturan dan Transformasi Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation

art-391-01art-391-02

Bermula 2 Januari 2020 yang lepas, Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation melaksanakan fungsi secara berasingan.

Pengasingan fungsi dan penstrukturan semula kedua-dua agensi ini telahpun diputuskan semasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat yang berlangsung pada 12 Disember 2019.

Perubahan fungsi tersebut menyaksikan Jabatan Hutan Sarawak telah mengambil alih semula fungsi-fungsi Sarawak Forestry Corporation (SFC) di bawah Forests Ordinance, 2015 yang merangkumi pengurusan, penyelidikan dan pembangunan, kejuruteraan, pematuhan dan kutipan hasil serta pembangunan ladang hutan.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) pula mengambil alih fungsi Jabatan Hutan Sarawak di bawah National Parks and Nature Reserves Ordinance 1998, dan Wild Life Protection Ordinance 1998 yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran Kawasan Terlindung Sepenuhnya seperti Taman Negara, Rezab Semulajadi dan Sanktuari Hidupan Liar termasuk pengurusan dan pemeliharaan hidupan liar seperti buaya dan burung walit.

Menurut Pengarah Hutan Sarawak, YBhg Datu Hamden Mohammad penetapan fungsi yang jelas ini membolehkan agensi-agensi ini melaksanakan tugas dengan lebih mantap tanpa ada sebarang pertindihan kerja, menjimatkan kos operasi serta mengurangkan kekeliruan orang ramai nama kedua-dua agensi ini hampir sama.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat secara atas talian dengan Konsulat Jepun ke Malaysia yang beribu pejabat di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

YBhg Datu Hamden menambah, “Melalui penstrukturan ini menyaksikan peranan, Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB) akan diambilalih sepenuhnya oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) iaitu sebuah agensi di bawah badan berkanun Kerajaan Negeri.

Pemindahan peranan ini turut melibatkan penyerapan kakitangan daripada Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB) ke Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta cadangan padanan jawatan SFCSB sedia ada ke skim Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Jelas beliau lagi, Jabatan Hutan Sarawak juga akan distruktur semula bagi memantapkan peranan Jabatan ini untuk mengurus hutan dengan lebih mampan dan cemerlang termasuk memperolehi pengiktirafan di peringkat antarabangsa”.

Sebagai rekod, proses pemindahan fungsi Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB) ke Jabatan Hutan Sarawak turut melibatkan pemindahan kakitangan SFCSB seramai 266 orang.

Jabatan Hutan Sarawak turut mengambil alih semua aset termasuk kenderaan yang digunakan oleh SFCSB semasa melaksanakan fungsi-fungsi di bawah Forests Ordinance 2015. Ini bagi memastikan pelaksanaan fungsi-fungsi berkenaan tidak terjejas dan berjalan dengan lancar.

Beliau juga berkata seiring dengan perubahan tersebut, semua pihak yang terlibat dengan aktiviti pembalakan dan industri perkayuan diingatkan untuk mengambil maklum mengenai perubahan fungsi kedua-dua agensi ini agar mereka tidak keliru terutama yang berkaitan dengan urusniaga dan pengurusan kawasan terlindung sepenuhnya serta hidupan liar di Sarawak.

Beliau turut menasihatkan orang ramai sekiranya mereka memerlukan maklumat dan penjelasan lanjut mengenai perubahan ini untuk berhubung terus dengan mana-mana pegawai atau kakitangan kedua-dua agensi berkenaan.

Comments are closed.