Semua Pintu Masuk Sempadan Negara Dilengkapkan dengan Sistem Pengecaman Wajah dan Biometrik

art-396-01

Penggunaan sistem imigresen berteknologi tinggi termasuk sistem pengecaman wajah dan biometrik akan dipasang di semua pintu masuk sempadan negara menjelang 2023.

Sistem baharu, iaitu Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISE) yang sedang dibangunkan oleh kerajaan mampu mengesan individu-individu yang disenarai hitam daripada memasuki semula negara ini selain dapat mengenal pasti golongan yang tinggal melebihi tempoh ditetapkan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Hamzah Zainudin, langkah tersebut penting bagi mengesan pergerakan keluar masuk warga asing di negara ini.

NIISE yang dibangunkan di bawah insiatif program Digital Malaysia bakal menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) yang terdapat kelemahan kerana tidak mampu mengesan pergerakan keluar masuk warga asing di negara ini.

Sistem baharu tersebut juga diperkenalkan bertujuan untuk mentransformasi sistem manual imigresen kepada sistem automatik.

Jelas YB Datuk Seri Hamzah, kerangka utama yang menyepadukan semua sistem imigresen berkenaan sedang dibangunkan dengan kos keseluruhan pembangunan masih dalam penilaian kerajaan.

Apabila siap sepenuhnya, NIISE akan diintegrasikan antara sistem di sempadan dengan di ibu pejabat, seterusnya mencegah masalah warga asing keluar masuk yang tidak mempunyai sebarang rekod.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, NIISE juga akan mempertingkatkan kecekapan Jabatan Imigresen Malaysia mengesan pergerakan keluar masuk warga asing dengan pantas serta mengurangkan risiko keselamatan kepada negara.

Sistem sedia ada tidak mempunyai pengecaman wajah dan mereka yang disenarai hitam boleh memasuki semula negara dengan menggunakan pasport lain.

Dengan adanya NIISE yang dilengkapkan dengan sistem pengecaman wajah dan biometrik, individu-individu yang disenarai hitam tidak akan terlepas daripada memasuki semula negara walaupun melalui ‘jalan tikus’.

Comments are closed.