Pengurusan Hutan Simpan Kekal kini fokus utama Jabatan Hutan

art-406-01Pengarah Hutan Sarawak, YBhg Datu Hamden Haji Mohamad ketika merasmikan Bengkel Pengurusan Hutan Simpan Kekal Sarawak 2020 Jabatan Hutan Sarawak

Segala perkara berkaitan urusan pewartaan, pemantauan dan pengurusan Hutan Simpan Kekal kini akan menjadi fokus utama Jabatan Hutan Sarawak yang juga sebahagian daripada penstrukturan dan transformasi antara jabatan tersebut dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Perkara ini dimaklumkan oleh Pengarah Hutan Sarawak, YBhg Datu Hamden bin Haji Mohamad ketika merasmikan Bengkel Pengurusan Hutan Simpan kekal Sarawak 2020 pada 25 Ogos yang lepas.

Sebelum ini, jelas beliau Jabatan Hutan memberi tumpuan kepada Pewartaan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) bagi mencapai sasaran 1 Juta hektar yang setakat ini (31 Disember 2019) kawasan seluas 867,512 hektar berjaya diwartakan sebagai kawasan TPA sebelum fungsi tersebut diserahkan kepada pihak SFC.

Kini, tambah beliau pihak SFC hanya perlu mencari kawasan seluas lebih kurang 200,000 hektar untuk diwartakan bagi mencapai sasaran 1 juta hektar berkenaan.

Sebaliknya, tugas baharu pengurusan Hutan Simpan Kekal (PFE) pula, menurut beliau Jabatan Hutan perlu mewartakan kawasan seluas lebih kurang 3 juta hektar lagi untuk mencapai sasaran PFE 6 juta hektar.

Jelas beliau, urusan mewartakan Hutan Simpan Kekal (PFE) bukan suatu perkara yang mudah lebih-lebih lagi sesuatu kawasan itu mempunyai kepentingan yang tersendiri untuk tujuan pembangunan dan pertanian.

Selain itu, menurut beliau Jabatan Hutan turut menghadapi cabaran dalam memantau PFE terutamanya pencerobohan, pertindihan sempadan serta penempatan di dalam PFE.

Begitu juga dengan usaha perlu dilakukan untuk memastikan PFE yang telah diwartakan di buat penandaan dan pembersihan sempadan, pemasangan papan tanda dan juga pemantauan dari masa ke semasa.

Pengemaskinian data juga perlu dilakukan memandangkan banyak kawasan yang masih PFE di dalam pangkalan data tetapi telah dibangunkan sebagai kawasan pertanian dan ada sesetengah telahpun diberi hak milik yang memerlukan perbincangan lanjut bersama pihak kementerian dan juga Jabatan Tanah dan Survei.

Atas tuntutan keperluan tersebut juga, memang bertepatan penganjuran bengkel selama dua (2) hari bagi memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti dalam PFE.

Bengkel anjuran bersama oleh Bahagian Bahagian Pewartaan dan Konservasi CCD, Bahagian Reforestasi dan Hutan Industri (RIFD) serta Bahagian Perhutanan Sosial (SFD), Jabatan Hutan Sarawak adalah bermatlamat untuk membincangkan justifikasi pewartaan PFE, mengkaji semula borang inquiry into claim, menyediakan Format laporan kerja lapangan yang seragam, membincangkan Garis Panduan serta proses Excision dan Revocation.

Selain itu, ia turut membincangkan Isu-su Pencerobohan dan permasalahan PFE dan penyelarasan aktiviti-aktiviti berkaitan PFE di antara bahagian-bahagian berkaitan dalam Jabatan serta pejabat-pejabat hutan wilayah terutamanya yang melibatkan penandaan sempadan, FLR, perhutanan sosial dan sebagainya

Comments are closed.