NTIS Memacu Pembangunan Negara Melalui Teknologi

art-416-01

National Technology & Innovation Sandbox atau NTIS yang dilancarkan oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin pada 19 Ogos lalu merupakan usaha dalam memperkukuhkan prospek Malaysia menjadi negara pesat membangun yang didorong oleh inovasi.

NTIS adalah inisiatif utama di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang bertujuan untuk memacu perjalanan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi dengan meningkatkan pembangunan dan akses kepada teknologi canggih.

Selain itu, NTIS yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) sebagai sekretariat utama juga bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Keluaran Negara Kasar (KNK) dan keterangkuman sosial serta meningkatkan penglibatan, pelaburan dan kolaborasi dalam penyelidikan oleh sektor swasta.

Perdana Menteri percaya bahawa visi menjadikan Malaysia sebuah negara yang pesat membangun dengan kehidupan rakyat yang berjaya dan berkualiti tinggi boleh dipacu melalui teknologi.

Oleh yang demikian, beliau yakin bahawa NTIS memberikan peluang kepada rakyat untuk mentransformasi Malaysia kepada ekonomi yang didorong oleh inovasi di samping memastikan masyarakat yang amat aktif, berdaya tahan dan berdaya saing sementara menaikkan reputasi negara di serata dunia dapat dipupuk.

Tambah beliau, memacu agenda inovasi negara terutamanya secara realiti dan pasca COVID-19 memerlukan penglibatan setiap rakyat Malaysia sama ada daripada peringkat kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, ahli akademik dan syarikat pemula tempatan.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Khairy Jamaluddin berkata, rakyat akan mendapat manfaat menerusi pelaksanaan NTIS, selain memacu inovasi Malaysia dan meningkatkan pembangunan bakat negara.

Inisiatif NTIS jelas beliau merupakan komitmen berterusan Kerajaan terhadap usaha R&D dan inovasi tempatan dengan membuka jaminan bahawa produk, teknologi dan perkhidmatan hasil R&D serta inovasi tempatan mempunyai tempat di pasaran terbuka dan mempunyai potensi pengkomersialan.

Langkah tersebut juga bermakna mewujudkan keadaan yang sesuai untuk pengusaha inovasi berkembang maju dalam negara.

Berikut adalah enam projek perintis yang telah dikenal pasti untuk memulakan NTIS:

  1. Robot mudah alih yang ringan ditugaskan dalam sektor pertanian untuk meningkatkan kecekapan kerja dan mengurangkan bilangan pekerja yang diperlukan.
  2. Alat bantuan pernafasan separa (semi ventilator) yang pertama untuk membantu pesakit yang mengalami kesukaran bernafas.
  3. Robot untuk membantu proses pemulihan bagi pesakit strok atau kondisi perubatan lain dengan fungsi anggota terhad/terjejas.
  4. Penyelesaian dron untuk mengautomasi penyembur racun perosak yang berketepatan tinggi, menjimat masa dan kos dalam sektor pertanian.
  5. Robot linear pungut-dan-letak bagi kegunaan sektor pembuatan yang dapat mengurangkan bilangan pekerja yang diperlukan dan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan kualiti penghasilan.
  6. Robot penghantaran pertama buatan Malaysia di hospital untuk membantu petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan untuk menyampaikan khidmat kepada pesakit COVID-19, mengurangkan potensi pendedahan kepada virus dengan mendadak.

Comments are closed.