ORYCTES, Dron Pertanian Pintar Kelapa Sawit Pertama di Dunia

art-414-01ORYCTES telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia YB Dato’ Saifuddin Abdullah pada 25 Ogos 2020

ORYCTES merupakan dron pertanian pintar kelapa sawit pertama di dunia yang telah direka bentuk khusus untuk kegunaan industri kelapa sawit bagi membendung masalah serangga perosak yang telah sekian lama merosakkan anak pokok sawit muda.

ORYCTES yang dinamakan bersempena dengan nama saintifik kumbang badak Oryctes Rhinoceros telah dibangunkan dengan sokongan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Global Technology Fund.

ORYCTES akan digunakan untuk menghapuskan serangga perosak pertanian yang merosakkan pokok kelapa sawit muda dengan cara menyembur cecair racun serangga terus dan tepat kepada tempat yang lebih mudah kena serangan pada pokok.

Dengan kapasiti tangki sebanyak 16 liter, ORYCTES berupaya menjalankan operasi penyemburan tepat pada skala sentimeter di puncak pokok sawit untuk melindungi pucuk-pucuk muda daripada serangan kumbang badak.

ORYCTES boleh menyembur racun serangga meliputi kawasan seluas dua hingga tiga hektar setiap jam dengan sistem semburan yang boleh dilaras mengikut keperluan.

Teknologi dron ini didatangkan dalam dua model iaitu penyemburan tepat untuk kelapa sawit dan penyemburan menyeluruh untuk tanaman landai seperti padi.

ORYCTES merupakan alat agroteknologi terkini yang dibangunkan menggunakan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) dan turut dilengkapi dengan peletakan kinematik masa nyata, sebuah sistem penentu kedudukan global (GPS) dipertingkatkan yang membolehkan penyemburan bintik paras sentimeter.

ORYCTES merupakan salah satu inovasi yang berpotensi untuk mengurangkan atau menghapuskan keperluan penyemburan manual.

Comments are closed.