Memastikan keseimbangan urbanisasi, alam sekitar

art-428-01

Alam sekitar yang meliputi kawasan-kawasan tumbuhan hijau atau hutan, udara, sungai dan laut merupakan sumber terpenting kepada masyarakat dan negara yang seharusnya dipelihara dan dipulihara.

Sesungguhnya, kegiatan pembangunan tanah dan sumber-sumber asli seperti rancangan pertanian, pembalakan, menebusguna tanah di kawasan pantai dan sebagainya memberi kebaikan dari segi pembangunan sosio-ekonomi tetapi sekiranya tidak dikawal boleh membawa kemusnahan alam sekitar.

Keseimbangan di antara urbanisasi dan alam sekitar penting kerana kedua-duanya mesti wujud dan saling melengkapi dan bersifat semula jadi,di samping pada masa yang sama memenuhi  keperluan daya hidup dan juga keperluan asas (pembangunan) manusia.

Kerajaan Malaysia juga komited melaksanakan inisiatif untuk melindungi dan memelihara alam sekitar negara, dan ini jelas terbukti daripada pelbagai dasar yang diperkenalkan seperti Dasar Alam Sekitar Negara, Dasar Perhutanan Negara, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan, Dasar Mineral Negara, dan Dasar Perubahan Iklim Negara.

Malah, undang-undang seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling, Akta Perhutanan Negara, dan Akta Perlindungan Hidupan Liar juga dikuatkuasakan bagi mengimbangi pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.

Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak juga begitu komited dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

Pengurusan hutan yang lebih efektif bagi mengekalkan kepelbagaian biologi memberi penekanan terhadap penguatkuasaan undang-undang, polisi serta peraturan yang lebih ketat berkaitan pembalakan.

Pengurusan hutan secara mapan merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak yang telah menampakkan keberkesanannya, dan ia berpandukan prinsip kemapanan iaitu mengenal pasti kawasan ‘Hutan Pengeluaran’ dalam kawasan hutan kekal untuk pengeluaran balak secara terkawal supaya tidak menjejaskan ekosistem hutan.

Usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan terus dipertingkatkan di Sarawak kerana Kerajaan Sarawak sedar akan kepentingan sektor perhutanan dan industri hutan kepada ekonomi Sarawak, menerusi eksport barang perkayuan yang mempunyai nilai eksport yang tinggi.

Bagi kawasan rizab semulajadi pula,  Kerajaan Sarawak telah mewartakan beberapa rizab semula jadi di tengah-tengah atau berhampiran pusat bandar di negeri ini.

Sebagai contoh, Kerajaan Sarawak telah mewartakan Rizab Semulajadi Piasau (PNR) yang seluas 93.5 hektar pada 31 Disember 2013 dan pada 8 Februari 2020, kerajaan Sarawak  telah mewartakan Rizab Semulajadi Bukit Lima di Sibu, dengan keluasan lebih 200 hektar.

Ini bagi  menambahkan lagi senarai yang ada termasuk di Kuching iaitu ‘Wetland Park’ seluas 6,000 hektar yang merangkumi kawasan tanah bencah dan hutan paya bakau dan di Bintulu pula akan diwartakan Rizab Semulajadi Similajau.

 

Comments are closed.