Meneroka Segmen Baharu Pekerjaan melalui Ekonomi Gig

art-431-01

Mungkin ramai yang tidak tahu apakah ekonomi gig. Ekonomi gig adalah model ekonomi, iaitu sesebuah organisasi atau perniagaan bergantung pada pekerja bebas atau ‘freelancer’.

Ekonomi gig juga merupakan model ekonomi yang memerlukan pekerja mahupun peniaga yang berdasarkan pada sistem kontrak atau projek untuk aktiviti perniagaan.

Ekonomi gig sudah popular di negara-negara barat sejak 10 tahun lalu. Manakala di Malaysia pula, model ekonomi berkenaan semakin berkembang sejak kebelakangan ini seiring dengan perkembangan ekonomi digital dan pelbagai platform perniagaan dan perkhidmatan dalam talian di negara ini.

Pekerja yang terlibat dalam ekonomi gig dikategorikan sebagai golongan yang mempunyai pekerjaan sementara atau fleksibel.

Contoh-contoh perniagaan atau konsep pekerjaan dalam ekonomi gig adalah seperti perniagaan dalam talian, e-hailing, penghantar makanan melalui perkhidmatan dalam talian dan sebagainya.

Berikutan pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia termasuk Malaysia, Kajian Khas Kesan COVID-19 Terhadap Individu dan Ekonomi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 9 April 2020 mendapati hampir separuh daripada 168,182 responden mengakui kehilangan pekerjaan kesan daripada wabak berkenaan.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga meramalkan kenaikan kadar pengangguran 4.0 peratus pada tahun ini berbanding dengan 3.3 peratus pada 2019.

Walau bagaimanapun, di sebalik situasi ekonomi yang mencabar ketika ini, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilancarkan oleh kerajaan dijangka dapat menghidupkan semula harapan dan memberi kelegaan kepada ramai pihak termasuk mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi gig.

Melalui PENJANA, kerajaan menyalurkan geran sebanyak RM50 juta melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberi perlindungan sosial termasuk pekerja-pekerja ekonomi gig.

Langkah berkenaan bukan hanya memberi manfaat secara langsung kepada pekerja, malah juga mampu merangsang dan mengembangkan lagi ekonomi gig yang sebelum ini diramalkan samar kesan daripada COVID-19.

Secara realiti, ekonomi gig mampu membuka peluang yang lebih besar kepada perkembangan ekonomi rakyat dan negara.

Sesuai dengan krisis kesihatan yang dialami di seluruh dunia pada hari ini, bekerja dalam ekonomi gig boleh menjadi salah satu inisiatif dan alternatif terbaik, terutama kepada mereka yang kehilangan pekerjaan.

Comments are closed.