Pekerjaan Masa Depan Revolusi Industri 4.0

art-434-01

Dunia kini sedang memasuki revolusi Industri 4.0 atau IR 4.0, iaitu industri era baharu yang didorong oleh teknologi kecerdasan buatan, media sosial, pengkomputeran awan dan Internet of Things (IoT) yang berkembang dengan pantas.

IR 4.0 bukanlah kesinambungan daripada revolusi industri 3.0 apabila ketika era itu peranti elektronik dan teknologi maklumat sedang berkembang.

Malah, IR 4.0 adalah permulaan industri baharu dengan kepantasan teknologi dan digital yang bersifat ‘mengganggu’ hampir semua sektor industri di seluruh dunia.

Kepantasan perubahan dan perkembangan teknologi hari ini menuntut transformasi dalam sistem produksi termasuk pekerjaan dan perniagaan dari peringkat pengoperasian hingga ke peringkat pengurusan.

Sebagai contoh, ketika komputer diperkenalkan dalam Industri 3.0, ia merupakan satu rahmat dalam permulaan teknologi yang belum pernah dilihat sebelum itu.

Bagaimanapun, ketika dunia memasuki IR 4.0, komputer saling berhubungan dan berkomunikasi di antara satu sama lain hinggalah akhirnya mengambil alih tugas dan operasi tanpa penglibatan tenaga manusia.

Bantuan daripada mesin-mesin berteknologi tinggi dan pintar menjadikan kilang-kilang beroperasi dengan lebih cekap di samping dapat mengurangkan pembaziran serta menjimatkan kos.

Rangkaian mesin-mesin digital berteknologi tinggi yang saling berkaitan antara satu sama lain mewujdukan kekuatan sebenar IR 4.0.

Maka dari situ, timbul persoalan dan kepercayaan umum bahawa automasi dalam perusahaan, perniagaan dan banyak lagi sektor akan menyebabkan pengurangan pekerjaan, bermakna, tenaga manusia dikurangkan dan pekerjaan konvensional tidak lagi wujud.

Walau bagaimanapun, kesesuaian dan sejauh mana persoalan ini benar dan bakal berlaku masih diperdebatkan.

Bagi memahami situasi tersebut, contoh yang sesuai adalah, pekerja yang menggunakan tangannya untuk membentuk atau membuat acuan untuk bahagian mesin tertentu akan segera melakukan tugas yang serupa secara maya atau apa yang dipanggil hari ini sebagai teknologi realiti berperanta atau VAR (Virtual Augmented Reality).

Revolusi dalam ini tidak akan mengurangkan jumlah pekerjaan, malah ia hanya akan mewujudkan keperluan dalam pembelajaran dan latihan pekerja yang meluas.

Ciri ikonik IR 4.0 adalah set kemahiran kerja semasa hanya memerlukan beberapa peningkatan dan bukannya baik pulih sepenuhnya.

Secara ringkas, IR 4.0 bukanlah menghapuskan era sebelum ini. IR 4.0 hanya meningkatkan fungsi, infrastruktur dan kemahiran sebelum era tersebut untuk dimanfaatkan sepenuhnya tahap automasi dan teknologi digital yang maju oleh manusia.

Walaupun operasi pembuatan dan pengeluaran pintar menurunkan jumlah peluang pekerjaan dalam tenaga manusia, ia juga mendorong kewujudan pekerjaan yang lebih memerlukan kemahiran tinggi, cerdas dan berkembang.

Tidak seperti persepsi popular mengenai sektor pembuatan yang memerlukan tenaga buruh yang intensif, IR 4.0 memerlukan lebih banyak dan pelbagai kemahiran walaupun pada peringkat pekerjaan atau jawatan terendah dalam organisasi.

Keperluan mendesak untuk pakar yang bukan hanya biasa dengan perniagaan dan pengeluaran, tetapi juga mampu menganalisis sejumlah besar data telah pun wujud.

Selain itu, terdapat peluang-peluang pekerjaan baharu bagi individu yang dapat menggunakan data sedia ada untuk mendapatkan pandangan dan meramalkan trend masa depan berdasarkan data sejarah juga.

Perkembangana ini membolehkan pengurus produksi berupaya menangani dan mengelak masalah daripada berlaku dengan berkesan serta dapat mencegah kesilapan daripada berulang.

Begitu juga halnya apabila pembangunan domain teknologi maklumat (IT) dan perisian dilihat bakal meningkatkan penciptaan pekerjaan dengan keperluan mendadak pekerja pembangun penyelesaian IT, pereka User Interface (UI), jurutera perisian tertanam dan saintis data.

Pekerja awam masa depan juga diramal akan menguasai kemahiran dalam automasi dan digital. Maka, melatih pekerja dengan kemahiran teknologi dan digital perlu bermula dari sekarang.

Comments are closed.