Mencapai Sasaran Dunia Bebas Lemak Trans Menjelang 2023

art-458-01Lemak trans lazimnya terkandung di dalam makanan segera seperti kentang goreng

Lemak trans yang dihasilkan dalam industri makanan adalah minyak yang diolah melalui proses hidrogenasi separa, iaitu proses penambahan hidrogen yang dapat meningkatkan kestabilan pengoksidaan supaya makanan tidak mudah rosak atau mereput.

Secara semula jadi, lemak trans boleh terbentuk dalam rumen (ruang pertama dalam perut haiwan) haiwan ternakan seperti lembu.

Oleh itu, produk-produk seperti mentega atau susu mengandungi lemak trans dalam jumlah 2% hingga 5%.

Walaupun lemak trans membantu mengekalkan ketahanan makanan dalam jangka masa panjang, kesan sampingannya boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Menurut laporan Harvard School of Public Health dan Wageningen University, 6% hingga 19% serangan jantung dan kematian setiap tahun adalah berkait rapat dengan kesan pengambilan lemak trans.

Sama seperti lemak tepu, lemak trans yang terdapat dalam makanan segera seperti kentang goreng, pizza, donut, biskut mahupun roti canai meningkatkan tahap kolesterol, seterusnya boleh mengakibatkan masalah jantung dan saluran darah yang terjejas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini melaporkan, penggunaan lemak trans yang dihasilkan secara industri telah dianggar menyebabkan kematian sekitar 500,000 setiap tahun yang disebabkan oleh penyakit jantung koronari.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan, pada ketika seluruh dunia sedang memerangi wabak COVID-19, segala usaha untuk melindungi kesihatan orang awam harus dilakukan.

Usaha tersebut termasuklah mengambil langkah yang perlu bagi mencegah penyakit tidak berjangkit yang dapat meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 dan menyebabkan kematian pramatang.

Beliau juga mengingatkan bahawa matlamat WHO untuk menghapuskan lemak trans pada tahun 2023 tidak boleh ditangguhkan lagi.

Sehubungan itu, WHO mengesyorkan supaya pengambilan lemak trans dihadkan pada kadar kurang dari 1% daripada jumlah pengambilan tenaga atau bersamaan dengan kurang dari 2.2 g sehari dengan diet 2.000 kalori.

Untuk mencapai sasaran dunia bebas lemak trans pada tahun 2023, WHO juga mengesyorkan beberapa langkah yang perlu diambil oleh semua negara.

Yang pertama, membangun dan melaksanakan dasar amalan terbaik untuk menetapkan had wajib bagi lemak trans yang dihasilkan secara industri kepada 2% minyak dan lemak dalam semua makanan atau melarang penggunaan minyak hidrogenasi separa (PHO).

Kedua, WHO menyarankan negara-negara untuk melabur dalam membangunkan mekanisme pemantauan serta keupayaan kajian makmal untuk mengukur dan memantau lemak trans dalam makanan.

Ketiga, menyokong peraturan atau undang-undang yang meningkatkan tahap kesedaran mengenai manfaat daripada ketetapan tertentu dasar penggunaan lemak trans dalam industri makanan.

Comments are closed.