Penuaan Penduduk Hakikat Yang Tidak Dapat Dinafikan

art-462-01Malaysia dijangka tergolong dalam kelompok ‘negara tua’ apabila bilangan penduduk berumur 60 tahun ke atas mencecah 15% menjelang tahun 2030

Penuaan penduduk adalah fenomena abad ke 21, iaitu sebuah hakikat yang tidak dapat dinafikan dan impaknya terhadap negara bergantung pada sejauh mana negara bersedia untuk menghadapinya.

Penuaan penduduk berlaku apabila peratusan penduduk warga emas berumur 60 tahun dan ke atas mencecah 15% daripada jumlah penduduk.

Ia merangkumi setiap aspek hidup individu, masyarakat dan negara kerana situasi kehidupan di peringkat tua bergantung pada perjalanan dan perancangan hidup di peringkat awal.

Dasar Warga Emas Negara telah mengiktiraf warga emas sebagai warganegara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman, mempunyai hak untuk menikmati kehidupan sejahtera, dihormati dan boleh terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Penuaan penduduk dikategorikan kepada penuaan sihat, penuaan positif, penuaan aktif, penuaan produktif dan penuaan menyokong.

Penuaan sihat merujuk pada usaha ke arah gaya hidup sihat dan membentuk sistem kesihatan yang lebih baik serta mewujudkan persekitaran dan komuniti yang mengutamakan kesihatan.

Penuaan positif pula merujuk pada pegangan kepercayaan dan nilai positif yang menjadi tunjang kehidupan dan jati diri warga emas sebagai panduan dalam kehidupan serta sikap dan pandangan positif terhadap penuaan.

Manakala penuaan aktif ula adalah proses mengoptimumkan peluang dan penglibatan warga emas dalam keluarga dan masyarakat ke arah memperkasa warga emas untuk meningkatkan kesejahteraan hidup yang merangkumi kuantiti, kualiti dan skop jaringan sosial, peranan timbal balik dan hubungan antara generasi yang wujud sepanjang hayat.

Kapasiti penglibatan warga emas untuk menyumbang dalam bentuk aktiviti kerja bergaji atau sukarela yang dapat memberi makna dan kepuasan dikategorikan kepada penuaan produktif.

Sementara itu, penuaan menyokong merujuk pada persekitaran dalaman dan luaran yang mesra warga emas bagi membolehkan warga emas berfungsi dengan baik.

Persekitaran yang memboleh dan membantu dapat mengurangkan ketidakupayaan yang dialami individu dan akan menggalakkan penglibatan warga emas dalam masyarakat.

Aspek ini juga mengambil kira penggunaan teknologi bagi membantu warga emas hidup berdikari.

Comments are closed.