Kajian Global Mendapati Hampir Satu Pertiga Pelajar Sekolah Dibuli

art-467-01

Kajian komprehensif mengenai kes buli di sekolah di seluruh dunia mendapati, remaja lelaki dari latar belakang golongan berpendapatan rendah berkemungkinan besar menjadi mangsa buli.

Kajian yang diketuai oleh para penyelidik Universiti Queensland (UQ), Australia mendapati, lazimnya kebanyakan pelajar menjadi mangsa buli di sepanjang tahun persekolahan dalam kalangan lebih daripada 310,000 orang pelajar.

Data tersebut diperolehi daripada pelajar-pelajar berumur 12 hingga 17 tahun di 83 buah negara berpendapatan rendah, sederhana dan berpendapatan tinggi dari Asia Tenggara, Afrika dan sebahagian negara-negara Amerika Selatan dan Mediterania Timur.

Menurut Tuhin Biswas dari Institusi Kajian Sosial Sains UQ, kajian yang berdasarkan data yang dikumpul daripada Global School-based Health Surveys dari tahun 2003 hingga 2015 mendedahkan 30 peratus pelajar dibuli, iaitu remaja lelaki dari keluarga miskin lebih berisiko dibuli.

Jelas Tuhin, buli adalah masalah kesihatan awam global yang serius tetapi kebanyakan kajian hanya dibuat di negara-negara berpendapatan tinggi.

Dapatan daripada kajian berkenaan juga menunjukkan sebilangan besar remaja menjadi mangsa buli di sekolah di semua negara tanpa mengira status sosio-ekonomi.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, variasi yang luas di antara negara menunjukkan bahawa faktor sosial dan budaya dapat mempengaruhi jumlah kes buli di peringkat nasional.

Pihaknya juga mendapati peningkatan sokongan rakan sebaya dan ibu bapa membantu menurunkan risiko buli di semua negara.

Pasukan penyelidik antarabangsa menjalankan kajian di keenam-enam wilayah Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) dan menemukan bilangan kes buli tertinggi berlaku di negara-negara Mediterania Timur, iaitu pada 45.1% diikuti Afrika 43.5% dan yang terendah, iaitu di Eropah 8.4%.

Kajian itu juga menunjukkan negara dengan bilangan kes buli sekolah tertinggi adalah negara Samoa, iaiatu pada kadar 75% dan Tajikistan terendah, iaitu 7%.

Pengarah Pusat Kursus Kehidupan UQ, Profesor Janeen Baxter pula berkata, kes buli di sepanjang tahun persekolahan boleh memberi banyak kesan negative terhadap pejalanan hhidup mangsa.

Antaranya, mempunyai risiko peningkatan masalah kesihatan fizikal, kognitif dan mental termasuk peningkatan kadar kemurungan, kegelisahan dan cubaan membunuh diri yang lebih tinggi.

Jelas beliau, mangsa juga cenderung mengalami kesulitan dalam prestasi akademik yang pada jangka masa panjang boleh menjejaskan pekerjaan dan kewangan terhadap mangsa dan keluarga mereka.

Seorang daripada penyelidik, Profesor James Scott dari Program Kesihatan Mental QIMR Berghofer mengatakan bahawa kajian tersebut memberikan gambaran penting mengenai tahap buli sekolah dan penyelesaian yang berpotensi untuk menanganinya.

Menurut beliau, variasi antara negara dan wilayah bersama-sama dengan dapatan yang disokong oleh rakan sebaya dan ibu bapa dapat mengurangkan risiko buli dan memberikan maklumat strategik supaya intervensi dapat dilakukan,

Mengurangkan bilangan kes buli di sekolah juga akan membantu mengurangkan beban penyakit global yang berkaitan dengan penyakit mental dalam kalangan remaja, tambah beliau.

Sementera itu, Profesor Madya UQ, Abdullah Mamun berkata, latihan kemahiran yang sesuai berasaskan budaya untuk sokongan ibu bapa dan rakan sebaya boleh menjadi faktor perlindungan penting terhadap perilaku buli.

Peningkatan penglibatan ibu bapa mungkin membantu mengesan masalah awal hubungan yang bermasalah serta peluang bagi membantu remaja melalui penyelesaian masalah, interaksi dan intervensi rakan sebaya jika perlu.

Kajian tersebut adalah kerjasama di antara Institut Penyelidikan Perubatan QIMR Berghofer, Kesihatan Mental Metro Utara, Pusat Penyelidikan Kesihatan Mental Queensland, Sekolah Perubatan Harvard dan Universiti Utrecht di Belanda.

Comments are closed.