Perumahan dan Kesejahteraan Hidup di Bandar

art-483-01

Kesejahteraan hidup masyarakat bandar boleh dinilai berdasarkan aspek-aspek seperti pekerjaan dan jenis pekerjaan, jumlah pendapatan, perumahan, pemakanan, pendidikan, kesihatan, penyediaan infrastruktur dan sebagainya.

Namun, kesejahteraan ataupun kualiti hidup di bandar harus merangkumi skop yang luas termasuklah penyediaan rumah untuk kelompok tertentu seperti golongan kurang upaya (OKU), persekitaran bandar yang sihat, infrastruktur yang disediakan dan pelbagai lagi.

Hari ini, pembangunan perumahan meliputi penyediaan kemudahan infrastruktur dan fasiliti yang merupakan satu keperluan asas kepada kehidupan manusia.

Malaysia merupakan antara negara yang mengorak langkah drastik dalam sektor perumahan untuk rakyat dan Dasar Perumahan Negara (DRN) dan Majlis Perumahan Negara diwujudkan bertujuan untuk memastikan rakyat negara ini mampu memiliki rumah dengan selamat dan selesa.

DRN sememangnya menggariskan hala tuju serta dijadikan asas dalam perancangan dan pembangunan sektor perumahan di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan (KPKT 2011).

Selain itu, matlamat DRN juga jelas, iaitu menyediakan rumah yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu milik.

DRN juga diperkenalkan untuk menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri perumahan pada masa kini.

Perumahan merupakan salah satu keperluan asas untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa terpelihara.

Manakala sektor pembinaan pula menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mempunyai kaitan secara langsung dengan sektor-sektor lain termasuk sektor perumahan, perkhidmatan dan sektor pembuatan bahan-bahan binaan.

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan mengejar pembangunan, isu kualiti hidup penghuni yang meliputi ketidakselesaan mendiami rumah, yang tidak mengambil kira faktor cuaca setempat, kepuasan terhadap persekitaran, penyediaan dan ketersampaian penghuni kepada kemudahan ekonomi, sosial, pengangkutan dan infrastruktur merupakan kriteria penting dalam penilaian kualiti hidup masyarakat di bandar.

Jika tidak ditangani dengan bijak, isu-isu ini akan memberi kesan ke atas keselamatan, kesihatan dan kualiti hidup masyarakat bandar secara keseluruhan.

Pembangunan perumahan perlu dilihat dari sudut bagaimana ia boleh menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup di bandar, meliputi aspek perumahan seperti keselesaan dalaman dan luaran, iaitu ketersampaian kemudahan yang disediakan kepada penduduk.

Oleh itu, pembangunan perumahan pada masa-masa yang akan datang perlu juga memberi perhatian pada capaian kemudahan persekitaran yang mudah dinikmati oleh penduduk dan tidak hanya memfokuskan pada aspek reka bentuk sesebuah kediaman.

Comments are closed.