Penilaian Prestasi, Asas Dalam Mengukur Prestasi Pekerja

Art-490-01Perubahan gelagat atau hasil pencapaian antara elemen yang diukur dalam menilai prestasi

Sejak sekian lama, para penyelidik dalam bidang pengurusan sumber manusia dan psikologi perindustrian organisasi telah menggunakan pendekatan penilaian prestasi sebagai kayu ukur dalam pengurusan prestasi pekerja.

Pengurusan prestasi merujuk kepada bagaimana sesebuah organisasi memanfaatkan aset seperti manusia, kewangan dan teknologi untuk pencapaian matlamat jangka pendek dan jangka panjang organisasi.

Oleh itu, penilaian prestasi akan dibuat secara sistematik terhadap kemampuan pekerja untuk mencapai standard pekerjaan yang telah ditetapkan.

Lazimnya, pada awal tahun pekerja akan diminta untuk membuat sasaran kerja tahunan masing-masing atau ditetapkan oleh penyelia masing-masing tentang sasaran yang perlu mereka capai pada tahun tersebut.

Pada pertengahan atau akhir tahun, penilaian akan dilakukan untuk melihat sama ada mereka mencapai matlamat yang telah ditetapkan atau sebaliknya.

Sebelum penilaian prestasi dibuat ke atas pekerja-pekerja, beberapa persoalan perlu dijawab antaranya kesan ke atas pekerja dan organisasi; kesan ke atas fungsi pengurusan sumber manusia yang lain; bila penilaian perlu dilakukan; adakah ia perlu dilakukan secara tahunan, berterusan atau sebaliknya; dan apakah elemen yang harus diukur (perubahan gelagat atau hasil pencapaian).

Penilaian prestasi pekerja yang dibuat secara adil dan sistematik akan memberi banyak faedah kepada organisasi antaranya membolehkan sesebuah organisasi membuat keputusan berkenaan kenaikan gaji dan pengkat kepada pekerja.

Selain itu, ia juga membolehkan sesebuah organisasi mengenal pasti keperluan latihan berdasarkan kelemahan, membuat keputusan tentang pemilihan pekerja baharu, membuat perubahan kepada reka bentuk kerja serta mengendalikan kes-kes disiplin pekerja dengan adil dan saksama.

Penilaian prestasi kerja yang dibuat secara adil dan sistematik juga akan menggalakkan pekerja berusaha meningkatkan prestasi atau memperbaiki kesilapan selain mewujudkan saluran komunikasiyang formal antara pekerja dengan pengurus.

Sistem penilaian yang dibangunkan dengan sistematik akan menjadi mekanisme yang membolehkan pihak pengurusan organisasi melihat pencapaian kakitangan, menjana data yang dirujuk dalam mengurus dan membangun bakat dan mengekal serta meningkatkan perancangan aktiviti organisasi sesuai dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

Comments are closed.