Pasukan Kerja Cekap Bantu Organisasi Capai Matlamat Dengan Berkesan

art-513-01

Pembinaan pasukan kerja sebenarnya merupakan suatu reka bentuk kerja yang penting dalam setiap organisasi dan kecekapannya akan membantu organisasi mencapai matlamatnya dengan berkesan.

Pasukan kerja dibentuk atas andaian utama bahawa hanya pekerja yang tahu tentang selok belok kerja yang mereka lakukan secara tepat maka, adalah logik sekiranya pandangan mereka diambil kira semasa proses membuat keputusan.

Atas andaian ini, terdapat beberapa jenis pasukan kerja yang mempunyai tahap penglibatan yang berbeza dalam proses membuat keputusan dibentuk dalam organisasi.

Antara jenis pasukan kerja ialah pasukan cadangan, pasukan penyelesai masalah, pasukan separa bebas dan pasukan pengurusan kendiri.

Daripada empat jenis pasukan kerja ini, pasukan cadangan mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan yang terhad manakala pasukan kerja pengurusan kendiri pula mempunyai autonomi dan kebebasan penuh untuk membuat keputusan dan melaksanakan keputusan yang telah dibuat.

Melalui pasukan kerja yang dibentuk, setiap ahli pasukan akan lebih komited untuk menyempurnakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan.

Oleh kerana sebarang hasil akhir merupakan tanggungjawab bersama, maka ini akan menuntut setiap ahli pasukan untuk saling bekerjasama, saling menyokong dan saling membantu.

Untuk memastikan pelaksanaan tugas berjalan dengan baik, setiap ahli pasukan perlu saling mempercayai dan sentiasa bersikap terbuka kepada pandangan dan kritikan ahli lain dalam pasukan.

Pasukan kerja yang baik haruslah pantas mengambil peluang dan bertindak balas ke atas masalah yang berlaku dan untuk memastikan seluruh pasukan kerja berjalan dengan lancar, kepimpinan pasukan yang cekap amat diperlukan.

Pemimpin pasukan kerja mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semangat kerja berpasukan sentiasa tinggi.

Oleh itu, pemimpin perlu melatih, menggalakkan penglibatan dengan meminta pandangan serta input ahli pasukan dan membekalkan ahli pasukan dengan pelbagai maklumat agar ahli pasukan dapat membuat keputusan yang baik.

Pemimpin juga perlu bertindak sebagai pemudahcara dengan menanamkan semangat keyakinan diri, memberikan autoriti, maklumat dan peralatan yang diperlukan untuk pelaksanaan kerja subordinatnya.

Comments are closed.