Memacu Perubahan dalam Penyampaian Perkhidmatan ke arah Revolusi Industri 4.0

art-522-01Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), YBhg Datu Dr. Sabariah Putit memotong kek sebagai simbolik perasmian penutupan program Cabaran Kreativiti Dekorasi Kek Anugerah Konvensyen Inovasi Penjawat Awam (SCSICA) dan Ceramah Profesion Juruukur: Inovasi dan Transformasi sempena Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam 2020 anjuran Jabatan Tanah dan Survei Sarawak di Kuching pada 11 Oktober

Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) berpotensi menjadi ‘role model’ kepada agensi-agensi kerajaan yang lain dalam memacu perubahan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) berdasarkan pencapaian jabatan berkenaan dalam penghasilan idea kreatif dan inovatif selama ini.

Malah, sistem LASIS yang diperkenalkan jabatan yang kini sudah berusia 102 tahun telah pun mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Oleh itu, JTS mampu mengungguli dan memacu transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam negeri Sarawak.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), YBhg Datu Dr. Sabariah Putit, hasil inovatif JTS seperti yang ditunjukkan dalam Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) telah mendapat pengiktirafan di pelbagai peringkat.

“JTS adalah sebuah agensi yang telah lama memacu transformasi perkhidmatan awam negeri terutama sekali penglibatannya dalam KIK yang telah diiktiraf di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya difahamkan bahawa sebanyak 150 idea kreatif telah dihasilkan oleh JTS melalui 14 buah kumpulan KIK dan saya berharap supaya lebih banyak inovasi dapat dihasilkan pada tahun-tahun akan datang apabila pendigitalan menjadi satu tuntutan,” jelas beliau.

Tambah beliau, melalui kepimpinan dan semangat kerja berpasukan, JTS diyakini menjadi agensi yang memacu pembaharuan yang lebih pantas dalam penyampaian perkhidmatan ke arah IR4.0.

Beliau memaklumkan perkara berkenaan ketika berucap mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion pada majlis penutupan program Cabaran Kreativiti Dekorasi Kek Anugerah Konvensyen Inovasi Penjawat Awam (SCSICA) dan Ceramah Profesion Juruukur: Inovasi dan Transformasi sempena Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam 2020 anjuran JTS di Kuching pada 11 Oktober.

Comments are closed.